suria

Kasut Kecil, Alat Mainan Antara Barang Tinggalan Di Rumah Aylan Kurdi

Gambar terakhir Aylan sebelum meninggal dunia dalam insiden bot karam.

KASUT kecil yang dipenuhi debu, alat mainan dan pakaian kanak-kanak antara barang tinggalan yang masih berada di kediaman keluarga Abdullah Kurdi di Kobani, Syria.

Rumah yang musnah teruk akibat serangan kumpulan militan Negara Islam (IS) antara faktor utama yang menyebabkan keluarga tersebut mengambil keputusan untuk meninggalkan negara itu untuk berhijrah ke Eropah.

Kasut milik Aylan dan abangnya Galip dipenuhi debu.

Namun, hasrat mereka sekeluarga untuk memulakan kehidupan baharu di Eropah tidak menjadi kenyataan apabila bot yang mereka naiki karam.

Dalam insiden itu, Aylan Kurdi, kanak-kanak berusia tiga tahun, abangnya Galip, 5, dan ibunya Rehan mati lemas.

Namun, Abdullah terselamat dalam insiden bot karam itu.

Abang Abdullah, Mohamad Kurdi berkongsi cerita mengenai kehidupan keluarga tersebut yang menyayat hati di Syria.

Gambar jenazah Aylan dalam keadaan kaku di tepi pantai itu mendapat perhatian masyarakat antarabangsa yang mula bimbang dengan nasib kumpulan pelarian dari zon konflik di Afrika dan Timur Tengah.

Berpakaian t-shirt merah dan seluar biru, mangsa yang berusia 3 tahun dari bandar Kurdish-Syrian itu dipercayai antara 12 pelarian yang cuba memasuki negara Greece, namun lemas apabila bot dinaiki mereka karam.

Gambar kediaman rumah mereka di Syria membuktikan realiti sebenar kehidupan keluarga tersebut di zon perang dan mengapa mereka sanggup bergadai nyawa semata-mata untuk memulakan kehidupan baharu.

Keadaan rumah keluarga Abdullah yang ditinggalkan mereka untuk berhijrah ke Eropah.


Bercakap kepada MailOnline dari sebuah kem pelarian di Jerman, Mohamad, 47 berkata keluarga tersebut pada awalnya melarikan diri ke Kobane dari Damsyik pada 2012 selepas Abdullah ditahan dan diseksa oleh kerajaan.

Sebaik sahaja Abdullah dibebaskan, dia berpindah bersama keluarganya dekat sebuah bandar berdekatan sempadan Turki.

Di situ mereka tinggal di sebuah rumah yang mempunyai dua bilik milik keluarga isterinya selama 18 bulan.

Namun mereka mengambil keputusan untuk berhijrah semula.

"Orang ramai mula meninggalkan kediaman masing-masing selepas kedatangan ISIS. Ia amat dahsyat. Hampir semua penduduk di Kobane melarikan diri ke Turki kerana tiada siapa boleh tinggal di sana," kata Mohamad. 

Abdullah yang bekerja sebagai pendandan rambut mula bekerja di Turki manakala keluarganya tinggal di sempadan bandar Kobane.

Namun dia kembali untuk membantu mereka melarikan diri pada 2013.

Rumah mereka musnah teruk terkena peluru meriam. Keluarga itu kemudiannya berpindah ke Turki.

Kediaman keluarga Abdullah di Kobane.

"Mereka gembira, mereka suka ketawa. Kami bekerja di tapak binaan. Ia amat sukar untuk kami tetapi kami terpaksa melakukannya kerana mempunyai keluarga yang besar.

"Turki membuka pintu tetapi kami tidak mempunyai sebarang hak di sana. Kami tidak boleh menikmati kehidupan di sana. Kehidupan amat sukar di Turki," kata Mohamad.

Mohamad berkata, beliau tidak dapat menahan perasaan hiba apabila dimaklumkan mengenai tragedi yang menimpa keluarga Abdullah.

Abdullah (kanan) memegang jenazah Aylan buat kali terakhir sebelum dikebumikan.


"Lidah saya kelu. Ia saat yang sukar bagi saya. Namun saya percaya kepada Allah dan mungkin itu takdir keluarga abang saya," katanya.

Ditanya mengenai perwatakan Aylan dan abangnya, Mohamad berkata mereka suka ketawa dan sering bermain bersama-sama.

"Ayah mereka sentiasa melakukan yang terbaik untuk memenuhi setiap keperluan anaknya. Dia sanggup melakukan apa sahaja untuk membuat keluarganya gembira," katanya.

Aylan Kurdi, Syria

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bapa Aylan Kurdi Kembali Ke Syria

Artikel Lain