BUDAPEST: Kebanjiran pendatang dari negara bergolak ke Hungary mendorong negara itu mengisytiharkan darurat dalam usaha untuk menangani isu itu. Dalam tempoh 24 jam sebelum pintu sempadannya dengan Serbia ditutup, lebih 9,000 pendatang memasuki negara itu. Situasi itu menyebabkan Hungary bercadang mendapatkan khidmat tentera untuk menghalang kemasukan rakyat asing ke negara itu. Sebaik undang-undang sempadang dikuatkuasakan, polis dan tentera mula menahan pendatang Syria, Iraq dan Afghanistan di sempadan negara itu. Malahan, ada anggota pasukan keselamatan yang sekadar menghulurkan makanan kepada pendatang itu, tetapi tidak membenarkan mereka masuk. “Kami tidak mahu makanan. Kami mahu ke Kesatuan Eropah (EU). Kami terlalu letih,” kata pendatang Afghanistan Abbas Mandegar. Hungary yang menjadi barisan hadapan krisis pelarian terburuk pernah melanda Eropah sejak perang Balkan pada 1990-an berikrar menutup pengaliran masuk pendatang menerusi Semenanjung Balkan untuk ke utara dan barat Eropah.