suria

Tragedi Makkah: Dua Beranak Saling Merindui

MAKKAH: Maziatunazna Bidin @ Ibrahim, isteri kepada Shahidan Saad yang suaminya hilang dalam kejadian kren tumbang di Masjidil Haram  pada Jumaat lalu menceritakan perihal anak tunggal mereka di kampung yang sering menelefon bertanyakan mengenai bapanya.

Beliau berkata anak mereka Muhammad Afiq Amzar, 3 tahun, begitu rindu untuk mendengar suara bapanya.

"Tapi saya hanya mampu beritahu dia yang ayah pi Allahhuakbar (bapa pergi bersolat)," kata surirumah kepada pembantu makmal Sekolah Menengah Tunku Bendahara, Kodiang, Kedah ini.

Anak mereka ditinggalkan di bawah jagaan abang kepada Shahidan di Kodiang.

Maziatunazna yang reda dengan apa juga ketentuan ilahi terhadap suaminya  berkata kali terakhir beliau bertemu dengan suaminya ialah pada Jumaat lepas di Maktab 89 di bangunan Abraj Al-Janadriah selepas suaminya pulang dari mengerjakan solat Jumaat.

"Pada waktu asar, dia pergi semula ke Masjidil Haram. Tapi dia kemudiannya  tak balik-balik," katanya.

Pasangan tersebut tiba di Madinah menerusi penerbangan KT7 pada 17 Ogos sebelum bertolak ke Makkah pada 26 Ogos.

Shahidan dan rakan sebiliknya Abdul Habib Lahman, 68, dari Sik, Kedah gagal dikesan sehingga kini.

Seorang lagi rakan sebilik Shahidan, Mohd Zainol Ramli, 54, turut menceritakan tentang kerinduan Shahidan terhadap anaknya.

"Dia (Shahidan) tidur agak lewat pada hari sebelum kejadian. Bila ditanya dia kata dia teringatkan anaknya. Dia berkahwin lebih 22 tahun baru dapat anak," kata Mohd Zainol.

Beliau berkata pada hari kejadian beliau tidak bersama dua rakan sebiliknya itu untuk ke masjid kerana telah berjanji untuk ke masjid bersama isterinya.

"Pak Long (panggilan untuk Abdul Habib) adalah rakan sekampung saya di Sik.

Kami datang dengan penerbangan yang sama (KT7) pada 17 Sept. Secara kebetulan kami di sini juga ditempatkan dalam satu bilik di Abraj Al-Janadriah.

"Kami (termasuk Shahidan) jadi rapat sejak di Madinah lagi. Kami sering bersama ke masjid, cuma pada hari kejadian kami tak pergi bersama," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim kini berada di sini  bagi memastikan usaha mencari dua jemaah yang hilang itu berjalan lancar.

Mereka turut mengadakan perjumpaan dengan Maziatunazna dan waris kepada jemaah Malaysia yang terkorban dan tercedera.

Sementara itu lima jemaah Malaysia yang terkorban dalam tragedi itu selamat dikebumikan selepas solat subuh di Syara'ik semalam (Selasa).

Makkah, Arab Saudi

Artikel Sebelum

Hungary Tutup Sempadan

Artikel Berikut

Artikel Lain