JAKARTA: Jerebu yang semakin tebal mendorong kerajaan Indonesia mengerah 1,600 tentera tambahan untuk membantu memadam kebakaran hutan dan belukar negara itu. Arahan dikeluarkan Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi selepas keadaan darurat akibat jerebu tebal diisytiharkan di Riau pada Isnin. Anggota tambahan itu bakal menyertai lebih 1,000 lagi askar yang sudah dikerahkan memadam kebakaran di wilayah Riau dan Sumatera Selatan. Jerebu tebal akibat pembakaran hutan di Sumatera dan kepulauan Borneo ketika musim kemarau menjadi isu tahunan di rantau Asia Tenggara. Kebiasaannya kebakaran dicetuskan petani tempatan dan syarikat perladangan yang membersihkan hutan untuk tanaman semula. Selepas mengisytiharkan penghantaran askar tambahan itu, Jokowi juga mengarahkan pihak berkuasa mengenakan tindakan tegas terhadap pihak yang menyebabkan kebakaran.