suria

Thailand Adakan Pilihan Raya Jun 2017

BANGKOK: Thailand akan mengadakan pilihan raya umum pada Jun 2017 dan sebuah kerajaan pilihan rakyat akan dibentuk sebulan kemudian, demikian menurut jadual negara itu untuk kembali kepada pemerintahan demokrasi.

Jadual masa 20 bulan untuk pilihan raya (dikira mulai Oktober) boleh dipendekkan kepada kira-kira 16-18 bulan, menurut Timbalan Perdana Menteri Wissanu Krea-Ngam dalam taklimat mengenai roadmap politik Thailand kepada komuniti diplomatik di sini Rabu.

Tempoh lebih pendek dapat dilakukan jika masa untuk menggubal perlembagaan baharu dan undang-undang berkaitan dapat dipendekkan.

Jadual masa 20 bulan termasuk enam bulan untuk menggubal perlembagaan baharu, empat bulan untuk pungutan suara mengenai draf perlembagaan baharu, dan enam bulan untuk menggubal undang-undang tambahan.

Empat bulan lagi adalah untuk persiapan bagi pilihan raya umum termasuk bagi membentuk kerajaan pilihan rakyat.

Wissanu dan Menteri Luar Don Pramudwinai memberi taklimat tersebut ketika timbul keadaan tidak menentu mengenai proses politik negara.

Ini berlaku selepas draf pertama perlembagaan yang mengandungi banyak artikel yang kontroversial yang dianggap tidak demokratik ditolak oleh Majlis Pembaharuan Nasional awal bulan ini.

Taklimat di hadiri oleh 31 duta besar dan wakil-wakil diplomat dari 66 negara serta perwakilan dari 11 organisasi antarabangsa.

PRU, Thailand

Artikel Sebelum

Artikel Lain