DUA banduan didakwa kerana merakamkan aksi mereka menyanyi lagu rap di dalam sel penjara. Mail Online melaporkan Demehl Thomas dan Moysha Sheperd didakwa kerana kesalahan membuat rakaman bunyi di dalam penjara Birmingham, England. Kedua-dua mereka dikatakan merakamkan aksi menyanyikan lagu rap secara sendiri menggunakan telefon bimbit yan tidak dibenarkan penggunaannya di dalam penjara. Mereka menyanyikan lagu rap mengenai dadah dan serangan ganas terhadap kumpulan pesaing mereka, sebelum memuat naik di Internet. Kedua-dua mereka didakwa di bawah Akta Penjara 1952 kerana membuat rakaman bunyi tanpa kebenaran di antara 1 dan 16 Ogos lalu. Dipercayai bahawa ia merupakan pertama kali kesalahan seumpama itu didakwa. Jika disabitkan bersalah, Thomas dan Sheperd, masing-masing berusia 25 tahun akan berdepan dengan hukuman penjara tambahan selama dua tahun.