TEXAS: Insiden ditahan akibat salah faham jam digital buatannya disangka bom membawa tuah apabila Ahmed Mohamed kini menjadi buruan syarikat berasaskan teknologi. Malahan, remaja itu juga menarik minat Facebook, Twitter, Google dan Institut Teknologi Massachusetts (MIT) kerana masing-masing bersaing untuk mendapatkan pelajar inovatif itu. Sokongan yang diterimanya boleh dianggap luar biasa selepas kejadian di Sekolah Tinggi MacArthur, Texas apabila dia digari dan dibawa ke pusat tahanan juvana. Kejadian itu berlaku selepas remaja Islam berusia 14 tahun itu membawa jam yang dipasang pada papan litar menggunakan wayar lama yang ditemui di garaj bapanya. Bagaimanapun gurunya menyangka hasil ciptaannya itu adalah bom, menyebabkan pengetuanya membuat laporan polis. Ahmed, ketika bercakap pada sidang media mengenai penahanannya berkata: “Kini saya dapat melihat dunia nyata. Saya tidak lagi boleh melihat dunia seperti saya lihat sebelum ini. Saya sukakan sains. Tetapi saya dilihat menjadi ancaman kerana warna kulit saya.” Sementara itu, bapanya Mohamed Elhassan Mohamed berkata, dia percaya kejadian itu ada kaitannya dengan agama. “Anak saya amat kecewa. Dia mahu menjadi seperti Einstein. Dia banyak idea dan tidak ada niat jahat dalam dirinya. Saya percaya kejadian ini berlaku kerana Islamofobia dan kesan daripada 11 September,” katanya. Dalam wawancara lintas langsung dengan stesen televisyen MSNBC, pegawai Jabatan Fizik MIT Chanda Prescod-Weinstein berkata: “Anda pelajar ideal saya. Orang kreatif seperti kamu layak untuk menjadi ahli fizik.” Chanda juga mempelawa Ahmed melawat MIT dan berkata, bekas penasihatnya di Universiti Harvard juga mahu membawa remaja itu mengunjungi bahagian astrofizik mereka. Selain itu, pengasas laman Facebook, Mark Zuckerberg berkata: “Memiliki kemahiran dan cita-cita untuk membuat sesuatu yang menarik sepatutnya mendapat pujian, bukan ditahan. Masa depan adalah milik orang seperti Ahmed. Ahmed, jika kamu datang ke Facebook, saya gembira jika dapat bertemu kamu. Teruskan membina.” Twitter juga menghubungi Ahmed dengan menulis: “Kami suka menghasilkan sesuatu di Twitter. Sudikah anda melakukan sesuatu bersama kami? Kami gembira jika dapat melakukannya!” Google turut menghantar mesej kepada remaja berkenaan dengan berkata, ia menyediakan tempat untuk Ahmed di festival sains yang bermula hari ini dengan berkata: “Bawa jam anda bersama!” Saintis Agensi Pentadbiran Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) turut mempelawa remaja itu melawat makmal mereka.