BOGOTA: Empat terbunuh, manakala beberapa lagi tercedera apabila sebuah pesawat kecil terhempas dan memusnahkan kedai roti di ibu negara Colombia ini, Ahad. Kejadian pada awal pagi itu membabitkan pesawat Beechcraft 60 mengejutkan sekitar Engativa, tidak jauh dari Lapangan Terbang El Dorado hanya beberapa minit selepas berlepas dari lapangan berdekatan. Semua penumpang pesawat itu dan juruterbang terbunuh, menurut kenyataan pejabat Datuk Bandar. "Setakat ini, tujuh orang yang mengalami kecederaan dirawat di hospital," kata kenyataan itu. Pasukan bomba menutup keseluruhan kawasan itu dan sedang mengesan mangsa yang mungkin terperangkap dalam kejadian itu.