JAKARTA: Polis mengesahkan 12 orang terbunuh manakala 71 lagi cedera dalam kebakaran di pusat karaoke milik Ratu Dangdut Indonesia, Inul Daratista di Mega Megamas, Manado, Sulawesi Utara awal pagi Ahad. Portal berita tempatan memetik Ketua Polis Daerah Manado, Rio Permana sebagai berkata dalam kejadian pukul 1 pagi itu, pusat karaoke yang diberi nama Inul Vizta Manadodi yang terletak di tingkat tiga sebuah kompleks sedang padat dengan pengunjung. Kebanyakan pengunjung dilapor tidak menyedari kebakaran itu kerana mereka asyik berhibur dan hanya melarikan diri setelah ternampak api mula marak. Bagaimanapun ramai yang terperangkap kerana hanya ada satu sahaja pintu keluar dan menyebabkan ramai yang menyelamatkan diri dengan terjun dari tingkat dua dan tiga. Kesemua mangsa yang meninggal dan cedera dibawa ke Hospital Kandou Malalayang, Manado. Kebakaran yang dipercayai akibat litar pintas itu dapat dikawal sepenuhnya pada kira-kira pukul 3.30 pagi. Sementara itu Inul yang popular dengan tarian gelek 'gerudi Inul' dipetik dalam laman Instagramnya sebagai berkata kejadian itu memberi peringatan kepadanya untuk mengambil langkah lebih baik pada masa akan datang. - Bernama