LONDON: Negara Kesatuan Eropah kini berada di dalam kebimbangan setelah mendapati beribu-ribu imigran dari Timur Tengah, Afrika dan Asia merentasi cuaca sejuk, angin kencang dan hujan lebat menyeberangi sempadan untuk sampai ke benua Eropah bagi mencari kehidupan baru. Penghijrahan besar-besaran ini berlaku di ambang Eropah akan menyambut kedatangan musim sejuk tidak lama lagi sehingga mendorong seorang pemimpin Eropah berkata, kemasukan imigran tanpa had ini bakal meruntuhkan Eropah dalam tempoh beberapa minggu lagi jika tidak dikekang. Menurut laporan portal berita Britain, Mail Online, sebahagian besar imigran ini menyeberangi Eropah menerusi negara-negara Balkan seperti Hungary, Slovenia, Serbia dan Croatia. Mail Online misalnya merakamkan sekumpulan ribuan imigran sedang bergerak berjalan merentasi ladang di Rigonce, Slovenia, selepas berjaya meloloskan diri merentasi sempadan Croatia. Destinasi mereka ialah Eropah Barat seperti Jerman, Austria, Switzerland dan Perancis yang lebih kaya dan dirasakan dapat memberikan kehidupan baru kepada mereka. Mereka berjalan kaki selama berminggu-minggu merentasi sempadan Serbian, Croatian dan Slovenia. Slovenia sendiri memberi amaran kepada lain-lain negara Eropah Barat yang benua itu akan berada dalam kacau bilau jika lambakan imigran ini tidak diatasi secara sistematik dan teratur. Sembilan hari selepas Hungary membuat keputusan untuk menutup semua pintu sempadannya, para imigran ini telah beralih arah ke Slovenia. Perdana Menteri Slovenia, Miro Cerar telah memohon bantuan daripada negara-negara Kesatuan Eropah supaya dengan segera menyelesaikan masalah ini kerana negaranya tidak dapat membendung kemasukan imigran ini dalam jumlah yang sangat besar. "Jika kita tidak dapat mencari jalan keluar kepada permasalahan ini sekarang, seluruh Eropah akan runtuh dan hancur akibat penghijrahan secara besar-besaran ini," tegasnya. Sejak 17 Oktober lalu, sudah lebih 62,000 imigran dari Timur Tengah, Afrika dan Asia tiba di Slovenia dengan dianggarkan sekitar 14,000 lagi sedang bergerak masuk ke negara itu sekarang. Cerar menambah, sejak pertengahan September, sudah lebih 230,000 imigran menyeberangi Croatia untuk ke Slovenia. Beliau merungut, Croatia tidak sedikit pun memberi amaran kepada negaranya mengenai kemasukan imigran ini. Sementara itu, Romania, Bulgaria dan Serbia memberi amaran yang mereka tidak mempunyai pilihan melainkan menutup pintu masuk di sempadan negara mereka jika Jerman dan Austria membuat keputusan untuk tidak menerima kedatangan imigran ini. Sepanjang tahun ini sahaja, 680,000 imigran dan pelarian perang dari negara-negara yang bergolak di Timur Tengah seperti Syria, Libya dan Afrika telah menyeberangi masuk ke Eropah menerusi laut dan jalan darat. Sebahagian besar pelarian ini adalah dari Syria, yang bukan sahaja diancam oleh perang saudara tetapi juga oleh kemaraan puak pelampau IS. Keputusan Hungary untuk memagar pintu sempadan mereka telah menyebabkan beribu imigran ini tersadai di sempadan negara itu dan memaksa mereka memasang khemah di tepi-tepi jalan dalam cuaca yang sejuk dan hujan yang lebat. Pelarian yang tidak tahan meneruskan perjalanan mereka ke Croatia dan setibanya mereka di sana, mereka dapati pintu sempadana juga turut ditutup yang menyebabkan mereka meneruskan perjalanan ke Slovenia. Presiden Suruhanjaya Eropah, Jean-Claude Juncker dilaporkan sebagai berkata, para pemimpin Eropah perlu membuat keputusan muktamad bagaimanakah mereka ingin menyelesaikan masalah ini memandangkan musim sejuk semakin hampir dan ia boleh mengorbankan beribu-ribu nyawa. "Jika tidak kita bakal menyaksikan mayat-mayat bergelimpangan di sungai negara-negara Balkan bila musim sejuk tiba nanti," ujar Juncker. Dalam pada itu Perdana Menteri Bulgaria, Boiko Borisov memberi amaran jika Jerman dan Austria membuat keputusan untuk menutup pintu sempadan mereka, Romania dan Serbia akan turut melakukan tindakan yang serupa. "Kami tidak akan mendedahkan negara kami kepada tekanan untuk menerima kemasukan beribu malah berjuta pelarian dan imigran yang bakal tiba nanti," katanya. Perkara yang sama disahut oleh Perdana Menteri Romania, Victor Ponta yang menegaskan negaranya mempunyai hak untuk mempertahankan diri sepertimana negara-negara lain yang mendirikan pagar di sempadan. Serbia, yang merupakan bukan anggota Kesatuan Eropah turut menegaskan yang mereka bergelut dengan tekanan untuk membendung kemasukan beribu-ribu imigran setiap hari. Kata Perdana Menteri Aleksandar Vucic: "Adalah penting untuk semua orang mengetahui bahawa bukanlah menjadi isu besar untuk kami mendaftar setiap imigran yang masuk ke Serbia atau membina satu pusat sementara untuk mereka Ini semua bukan isu besar bagi Serbia. Tetapi jika ada yang merasakan bahawa Serbia boleh menjadi tempat untuk dua atau tiga juta imigran atau pelarian bermastautin di sini, ini adalah tidak realistik." Pertubuhan Amnesti Antarabangsa melahirkan rasa bimbang mereka malapetaka akan muncul jika isu kedatangan imigran ini tidak diselesaikan dengan segera sebelum musim sejuk tiba. Turki yang merupakan pintu masuk pertama pelarian dari Syria adalah kunci utama untuk mengawal penghijrahan besar-besaran ini, kata Cancelor Jerman, Angela Merkel. Sebaliknya pada masa yang sama Turki menuntut bantuan dana daripada Eropah bagi membolehkannya mengawal situasi sekarang.