suria

Gear Pendaratan Rosak, Pesawat British Airways Mendarat Cemas

SEBUAH pesawat British Airways mendarat cemas di Afrika Selatan selepas mengalami kerosakan pada gear pendaratan pada Isnin.

Portal MailOnline melaporkan sayap kiri pesawat Boeing 737 terseret di landasan sebaik sahaja ia mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa OR Tambo di Johannesburg.

Pasukan bomba bergegas ke tempat kejadian dan 94 orang di dalam pesawat menggunakan tangga kecemasan untuk dibawa ke tempat selamat.

Seorang penumpang, Warren Mann memberitahu Traveller24 mengenai juruterbang memaklumkan bahawa pesawat itu mengalami kerosakan pada gear pendaratan.

Tambahnya: "Keadaan itu menyebabkan pesawat mendarat landasan dengan kuat. Kami dapat melihat percikan api di bahagian sayap kiri dan enjin yang terseret di sepanjang landasan. 

"Operasi bomba dan penyelamat terus membuat semburan pada pesawat dan kami semua dikeluarkan menggunakan tangga kecemasan."

Keadaan pesawat British Airways Comair selepas membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa OR Tambo.

British Airways memberitahu MailOnline bahawa insiden berkenaan melibatkan sebuah pesawat yang dimiliki dan dikendalikan oleh syarikat francais Comair, yang berpangkalan di Afrika Selatan.

Seorang jurucakap Comair berkata, tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden berkenaan.

"British Airways (dikendalikan oleh Comair) BA6234 yang berlepas dari Port Elizabeth dengan enam anak kapal dan 94 penumpang terlibat dalam insiden sewaktu pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa OR Tambo pada hari ini (Isnin).

"Kami ingin mengesahkan bahawa kesemua penumpang dan anak kapal selamat tanpa sebarang kecederaan yang dilaporkan. 

"Comair dan pihak berkuasa berkaitan akan menjalankan siasatan berhubung insiden tersebut," katanya. - MailOnline

British Airways

Artikel Berikut

Artikel Lain