suria

Kerajaan Rusia & Britain Bawa Balik Pelancong Dari Mesir

Bangkai pesawat Metrojet yang terhempas di Semenanjung Sinai, Mesir pada 31 Oktober lalu mengorbankan lebih 200 penumpang dan anak kapal.

MOSCOW: Kerajaan Rusia pada Isnin mengumumkan yang mereka telah membawa keluar sekurang-kurangnya 11,000 warga negara mereka dari pusat-pusat peranginan Mesir dalam tempoh 24 jam yang lalu ekoran ancaman berikutan terhempasnya sebuah pesawat komersil milik negara itu di Semenanjung Sinai 31 Oktober lalu.

Dalam kejadian malang itu, 224 penumpang dan anak kapal terkorban apabila pesawat berkenaan terhempas beberapa minit selepas berlepas meninggalkan pusat peranginan paling popular di Mesir iaitu Sharm el-Sheikh.

Pesawat itu dalam perjalanan menuju ke St Petersburg iaitu bandar kedua terbesar di Rusia.

Terdapat spekulasi yang mengatakan pesawat milik MetroJet itu terhempas kerana dibom oleh pengganas.

Jumaat lalu, Moscow turut mengumumkan yang mereka telah mengantung kesemua perjalanan masuk dan keluar dari Mesir.

Bagaimanapun, pada Sabtu dan Ahad, Kerajaan Rusia memutuskan untuk membawa keluar mana-mana warganegaranya yang sedang bercuti di Mesir.

Pelancong Rusia adalah yang ketiga terbesar di Mesir. Tahun lalu sahaja sekurang-kurangnya tiga juta warga Rusia melancong ke Mesir khususnya di kawasan peranginan seperti Sharm el-Sheikh dan Hurghada.

Bukan sahaja Rusia malah Kerajaan United Kingdom (UK) turut melakukan tindakan yang sama dengan membawa keluar 3,500 warganegaranya dari Sharm el-Sheikh.

Kerajaan UK sebenarnya telah menghentikan penerbangan ke Sharm el-Sheikh sejak Rabu lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain