BANGKOK: Dua suspek - Mohammed Bilal dan Yusufu Mieraili didakwa secara rasmi di Mahkamah Tentera wilayah Dusit di sini Selasa atas peranan mereka dalam insiden letupan bom di Kuil Erawan di tengah bandaraya Bangkok pada 17 Ogos lepas. Kedua-dua suspek berbangsa Uighur dari China itu menghadapi 10 tuduhan termasuk merancang pembunuhan dan cubaan membunuh. Mohammed Bilal, 30, yang turut dikenali sebagai Adem Karadeg dikatakan membuat pengakuan ketika siasatan polis bahawa dia adalah lelaki berkemaja T kuning yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) meninggalkan beg dalam kuil itu sejurus sebelum letupan berlaku pada waktu puncak petang 17 Ogos lepas. Pihak berkuasa Thailand juga masih memburu 15 suspek yang dipercayai terlibat dalam insiden itu. Setakat ini belum ada sebarang keterangan atau proses pemeriksaan ke atas suspek berikutan masalah jurubahasa, kata peguam yang mewakili Mohammed Bilal, Schuchart Kanpai. "Hari ini kami tidak berpeluang untuk bercakap mengenai motif mereka (atas serangan itu) dan apa yang dibincangkan lebih tertumpu kepada isu jurubahasa," katanya. Mohammed Bilal tidak begitu memahami bahasa Inggeris dan enggan menerima jurubahasa yang dilantik (bahasa Inggeris kepada bahasa Thai), kata Schuchart kepada pemberita. Katanya, seorang rakyat Uzbekistan, Bakhadirov Srojiddin, yang dilantik Mohammed Bilal untuk menjadi jurubahasanya (bahasa Thai kepada bahasa Uighur) dibantah pihak pendakwa raya berikutan tidak mengetahui latar belakangnya. Schuchart berkata, beliau akan mengemukakan latar belakang Bakhadirov kepada mahkamah dalam tempoh 15 hari. Isu jurubahasa hanya membabitkan Mohammed Bilal kerana Yusufu Mieraili yang masih belum melantik peguamnya, menerima jurubahasa (bahasa Thai ke bahasa Inggeris), katanya. Schuchart menambah Mahkamah Tentera telah menetapkan pendengaran praperbicaraan untuk kedua-dua defendan pada 8.30 pagi 16 Februari depan. Letupan bom pada 17 Ogos itu mengorbankan 20 nyawa termasuk lima rakyat Malaysia manakala 130 orang mengalami kecederaan.