NEW DELHI: Mahkamah Tinggi Mumbai mengetepikan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan oleh sebuah mahkamah sesyen ke atas Salman Khan dalam kes langgar-lari pada 2002. Saluran berita tv tempatan NDTV melaporkan aktor berusia 50 tahun itu tidak dapat menahan sebak bila keputusan itu diumumkan pada kira-kira 2 petang waktu tempatan. Hakim Mahkamah Tinggi A R Joshi mengambil masa dua hari sebelum menyampaikan penghakimannya bila beliau memutuskan bahawa pendakwa gagal membuktikan kes terhadap aktor itu. Hakim memutuskan bahawa tidak terdapat bukti cukup untuk mensabitkan secara konklusif yang aktor itu di bawah pengaruh alkohol dan memandu dengan cuai menyebabkan kenderaan pacuan empat rodanya melanggar sekumpulan orang. Dalam insiden awal pagi pada 28 Sept, 2002, kenderaan land cruiser Salman melanggar sebuah kedai dobi dan kedai roti menyebabkan seorang buruh maut dan empat yang lain cedera. Kes itu mendapat liputan meluas bila pemandu Salman, Asok Singh tampil sebagai saksi pembelaan dan mengaku yang beliau memandu kenderaan semasa kemalangan itu. Sekumpulan peminat Salman yang menunggu di kediaman aktor itu sejak awal pagi bersorak gembira merayakan keputusan mahkamah itu bersama beberapa orang selebriti dan sahabat rapat Salman. -- Bernama