suria

Taufan Melor: Filipina Arah Ratusan Ribu Penduduk Pindah

MANILA: Penduduk sekitar pesisiran pantai, kawasan lembah dan pergunungan diarah segera berpindah ke kawasan lebih selamat apabila taufan Melor dikesan semakin menghampiri Filipina.

Lebih membimbangkan apabila agensi bencana negara itu mendapati taufan yang turut dikenali sebagai Nona di kalangan penduduk tempatan itu dijangka membadai daerah yang sebelum ini teruk dilanda taufan Haiyan dua tahun lalu.

Dengan angin pada kelajuan 140 kilometer sejam, taufan kategori dua itu kini berada kira-kira 440 kilometer di bahagian timur wilayah Samar Utara, menghala ke barat dan dijangka membadai Isnin malam.

Menurut Pengarah Eksekutif Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Nasional, Alexander Pama, pasukan kecemasan tempatan diingatkan supaya  berjaga-jaga dan segera memulakan proses pemindahan bagi penduduk di pantai, kawasan lembah dan pergunungan.

"Mungkin amaran taufan kepada orang awam di bandaraya ini akan dikeluarkan, selain melarang kegiatan di laut kerana ombak yang tingginya mencecah kira-kira empat meter," tambah beliau.

Menurutnya lagi, taufan Melor mungkin boleh menyebabkan hujan lebat di di kawasa pedalaman sekali gus boleh mengakibatkan banjir serta tanah runtuh di Samar, kepulauan Leyte serta di Bicol yang terletak di bahagian tenggara Pulau Luzon.

Sementara itu, penyedia maklumat cuaca, AccuWeather pula memaklumkan Melor mungkin bertambah ganas dan menjadi taufan kategori tiga.

Mengikut ramalan, taufan Melor akan melanda daerah yang pernah dibadai Haiyan pada November 2013, yang ketika itu mengorbankan lebih 6,300 nyawa dan menyebabkan lebih 1.4 juta penduduk kehilangan tempat berteduh.

Secara purata, sebanyak 20 taufan melanda Filipina setiap tahun.

Melor, Nona, Filipina, Haiyan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain