suria

Korea Utara Anggap Korea Selatan Cari Nahas

Anggota tentera Korea Selatan sibuk memasang pembesar suara di sempadan kedua negara sebagai usaha memprotes tindakan ujian bom hidrogen.

SEOUL: Tindakan Korea Selatan memasang semula pembesar suara di sempadan sebagai tanda protes ujian bom hidrogen Korea Utara akan memburukkan hubungan kedua negara berjiran itu.

Malahan seorang pegawai tertinggi Korea Utara menganggap ia sebagai tindakan yang sengaja mahu mencari nahas.

Ia dikatakan antara langkah untuk menghukum Pyongyang kerana menjalankan ujian bom hidrogen pertama Rabu lalu.

Taktik penggunaan pembesar suara oleh Korea Selatan adalah perang saraf seperti mana yang dilakukan ketika Perang Korea 1950-53 dengan menyiarkan lagu dan berita mengkritik Pyongyang.

Malahan, Pyongyang menganggap tindakan Seoul memasang pembesar suara yang menyiarkan muzik K-Pop, siaran berita dan cuaca di sepanjang sempadan sebagai satu penghinaan.

Tahun lalu, Seoul mencetuskan kemarahan Pyongyang yang mengancam untuk melancarkan serangan artileri ke arah unit pembesar suara Seoul, jika Korea Selatan enggan memadamkannya, lapor Reuters.

Sementara itu, pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, berkata negaranya mengadakan ujian bom hidrogen sebagai langkah mempertahankan diri daripada ancaman perang nuklear Amerika Syarikat.

Ujian nuklear keempat Korea Utara pada Rabu membangkitkan kemarahan Amerika dan China, yang tidak diberi notis lebih awal, walaupun Washington dan pakar senjata meragui dakwaan Korea Utara bahawa peranti yang diletupkan itu adalah bom hidrogen.  - Reuters

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain