LOS MOCHIS: Penahanan raja dadah dunia baru-baru ini seterusnya membawa kepada usaha kerajaan Mexico untuk mengekstradisi Joaquin 'Chapo' Guzman ke Amerika Syarikat (AS). Penjenayah yang juga ketua rangkaian dadah itu ditahan semula susulan beberapa kesilapan yang berlaku termasuk memfilemkan kisah hidupnya. Sumber memberitahu media tempatan, Pejabat Peguam Negara Mexico berusaha untuk menyerahkan Guzman kepada AS menjelang pertengahan tahun ini. Bagaimanapun, ia bergantung kepada injuksi yang difailkan peguam Guzman. Guzman yang juga ketua kepada Kartel Sinaloa yang berpengaruh, dikehendaki pihak berkuasa AS atas pelbagai dakwaan jenayah. Pertubuhannya menyeludup dadah bernilai berbilion dolar ke AS dan dipersalahkan kerana mengakibatkan ribuan nyawa terkorban di Mexico dan AS disebabkan ketagihan dan peperangan antara kartel dadah. - Reuters