ISTANBUL: Pihak berkuasa Turki telah menahan 68 anggota kumpulan militan Negara Islam (IS) dalam serbuan berasingan di beberapa lokasi di seluruh negara itu. Seramai 65 suspek ditahan pada Rabu dalam serbuan di Ankara; Izmir di Aegean; Kilis di sempadan Syria; Sanliurfa; Mersin di Mediterranean dan Adana di selatan Turki. Agensi berita Anatolia melaporkan, ia dipercayai mempunyai kaitan dengan serangan pengebom berani mati IS dari Syria di Dataran Sultanahmet di sini yang mengakibatkan 10 pelancong asing termasuk sembilan warga Jerman terkorban. Dalam serbuan di Ankara, pihak berkuasa menahan 16 suspek yang disyaki terbabit merancang serangan besar-besaran di ibu kota ini. Selain itu, 21 yang lain ditahan di Sanliurfa kerana disyaki merancang untuk menyerang sebuah lokasi yang tidak dinamakan di negara itu. Media tempatan itu juga melaporkan tiga lagi anggota IS yang disyaki ditahan adalah warga Rusia, termasuk di bandar Antalya, selatan Turki. Letupan berdekatan monumen Obelisk Theodosis itu mengegarkan kawasan di Sultanahmet yang juga destinasi pelancongan popular di Turki. – AFP