BANDAR RAYA MEXICO: Pemburuan raja dadah, Joaquin Guzman atau El Chapo selepas beberapa kali meloloskan diri dari penjara dalam tempoh 14 tahun disifatkan yang termahal dalam sejarah negara itu. Kos yang tinggi diperuntukkan untuk menahan penjenayah paling dikehendaki itu melibatkan sekurang-kurangnya 2,500 anggota keselamatan dan ejen perisikan. Sepanjang tempoh merangka modus operandi pemburuan, pasukan keselamatan mengerahkan anggotanya memantau beberapa personaliti bagi menjejaki El Chapo. Aktor Hollywood, Sean Penn dan aktres tempatan, Kate del Castillo adalah antara yang turut dipantau bagi mendapatkan maklumat berkaitan Guzman. Selain itu, pemburuan turut melibatkan maklumat yang diperoleh secara bersama daripada agensi perisikan, data, soal siasat dan serbuan di kawasan tertentu. Hasil kerjasama semua pihak Guzman telah ditahan pada pagi Jumaat lalu dalam kejadian tembak-menembak di bandar Los Mochis, Sinaloa. Susulan itu, AP mendedahkan kenyataan seorang bekas ejen perisikan kerajaan yang enggan dikenali berkaitan kejayaan penahanan Guzman. “Yang pertama, El Chapo telah menghentikan pengedaran dadah secara rahsia. Dia meninggalkan kawasan pergunungan. Dia bertemu dengan orang ramai seperti mana kita ketahui. Keadaan itu membuatkan kerja-kerja unit perisikan lebih mudah untuk menangkapnya. "Faktor lain ialah ketika dia meloloskan diri, pihak berkuasa telah mengerahkan kira-kira 2,500 anggota daripada pelbagai agensi keselamatan supaya operasi penangkapan raja dadah berkenaan berjalan lancar,” katanya. Bagaimanapun, Pejabat Presiden Mexico, Enrique Pena Nieto dan pejabat peguam negara tidak dapat dihubungi bagi mengesahkan jumlah anggota keselamatan tersebut. Namun beberapa pegawai kerajaan berkata, kerja-kerja operasi penangkapan itu melibatkan sekurang-kurangnya 2,500 anggota keselamatan.