SINGAPURA: Pihak berkuasa Singapura menahan 27 warga Bangladesh di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didapati menyokong ideologi jihad bersenjata kumpulan pengganas seperti Al-Qaeda dan kumpulan militan Daesh. Kementerian Dalam Negeri (MHA), dalam kenyataan berkata kesemua lelaki tersebut yang bekerja dalam industri pembinaan di sini telah ditahan antara 16 Nov dan 1 Disember tahun lepas. Kementerian itu berkata 26 daripada mereka merupakan anggota kumpulan agama tertutup yang terpengaruh dengan kepercayaan dan ajaran pelampau oleh individu radikal seperti Anwar al-Awlaki. Anwar merupakan seorang guru agama Amerika beketurunan Yaman yang didakwa mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda. Dia telah terbunuh dalam serangan dron di Yaman pada September 2011. MHA berkata seorang lagi warga Bangladesh ditahan itu bukan merupakan anggota kumpulan itu tetapi didapati dalam proses menjadi seorang berfahaman radikal dan menyokong penceramah agama yang menyebarkan doktrin pelampau serta memilik bahan berkaitan jihad. "Sejumlah bahan radikal dan berkaitan jihad seperti buku dan video memaparkan kanak-kanak menjalani latihan di tempat yang kelihatan seperti kem tentera dirampas daripada kumpulan itu. "Beberapa anggota itu juga turut berkongsi dokumen mengandungi imej grafik dan arahan terperinci bagaimana menjalankan 'pembunuhan senyap' dengan menggunakan pelbagai kaedah dan senjata berbeza," menurut kenyataan itu. MHA berkata siasatan menunjukkan bahawa sebahagian daripada anggota kumpulan itu telah merancang melakukan keganasan melampau di luar negara dan tidak merancang melakukan serangan pengganas di Singapura. Kementerian itu berkata pas kerja kesemua 27 lelaki itu telah dibatalkan dan 26 daripada diusir pulang ke negara asal. Seorang lagi akan dihantar pulang selepas menjalani hukuman penjara kerana cuba meninggalkan Singapura secara tidak sah selepas mengetahui penahanan anggota kumpulan itu, katanya. Kementerian itu berkata pihak berkuasa Bangladesh telah dimaklumkan mengenai sebab warganya diusir pulang ke negara asal.