BANGKOK: Buat dua malam berturut-turut, penduduk di Bangkok terpaksa menahan kesejukan yang menusuk hingga ke tulang berikutan cuaca sejuk luar biasa menyelubungi bahagian utara dan pusat bandar raya ini, dengan suhu dilaporkan semakin menurun. Penduduk di ibu kota berdepan suhu dingin antara 13 hingga 16 darjah Celcius sejak dua malam lepas, memaksa mereka memakai beberapa lapis pakaian untuk mengelak badan daripada menggigil. Jabatan Meteorologi dalam kenyataan kepada media tempatan menasihati orang ramai agar bersiap sedia menghadapi cuaca lebih sejuk memandangkan suhu dijangka semakin menurun pada hari-hari berikutnya. "Penurunan suhu sekitar satu hingga tiga darjah Celcius akan berlaku dalam masa dua hari akan datang disebabkan zon tekanan tinggi yang kuat meliputi Laut China Selatan dan bahagian hulu Thailand," menurut kenyataan itu. Menurut jabatan itu, suhu minimum di Utara dan Timur Laut dijangka antara enam hingga 15 darjah Celcius, manakala suhu di Dataran Tengah dan Timur dijangka antara 13 dan 18 darjah Celcius. Bagaimanapun, suhu dingin yang dialami penduduk Bangkok ketika ini tidak melepasi rekod bacaan yang dicatatkan masing-masing pada 1975 dan 1999 apabila suhu di ibu negara itu menurun masing-masing kepada 10 darjah Celcius dan 11.7 darjah Celcius. Sementara itu, media tempatan dalam laporannya menyebut cuaca sejuk yang sedang dialami negara ini telah meragut nyawa dua warga emas masing-masing berusia 72 dan 78 tahun, yang tinggal di daerah Muang, bahagian tengah Thailand. Ahli akademik di Chulalongkorn University Sathon Vijarnwannaluk berkata perkara luar biasa mungkin telah berlaku dengan fenomena 'Artctic Oscillation' yang menghasilkan gelombang yang amat sejuk daripada biasa. Katanya cuaca di negara itu akan kembali seperti sediakala menjelang pertengahan bulan depan. "Ini mungkin kali terakhir anda mengalami keadaan sejuk tahun ini. Bergembiralah dan pakai pakaian tebal," katanya, sambil meminta penduduk negara itu agar tidak risau dengan cuaca sejuk yang dialami sekarang.-- Bernama