JAKARTA: Bantahan pelacur susulan rancangan kerajaan untuk mengusir golongan itu daripada terus menjalankan kegiatan di lubuk pelacuran di bandaraya ini, Kalijodo semakin memuncak. Terkini, lebih 1,000 pelacur di kawasan itu mengancam untuk berbogel sebagai membantah rancangan itu. Kalijodo adalah kawasan setinggan di Jakarta Tengah yang terkenal dengan aktiviti pelacuran, arak dan judi. Malahan, penduduk juga sedia menemui Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama bagi menyelesaikan isu yang dimulakan pemimpin yang lebih dikenali sebagai Ahok itu. Seorang penduduk Kalijodo, Razman Arif Nasution berkata, sekiranya kerajaan meneruskan rancangan untuk merobohkan kawasan berkenaan penduduk termasuk pelacur akan membuat bantahan. “Ada lebih 1,000 pelacur di sini dan mereka tidak malu lagi serta sedia berbogel untuk membantah pengusiran ini. “Jika Basuki masih enggan bertemu dengan penduduk, kami sendiri akan pergi bertemu dengannya,” katanya. Penduduk Kalijodo sudah diberi surat amaran yang mengarahkan mereka berpindah dari kawasan itu dalam tempoh tujuh hari. Selain itu, Basuki juga enggan melayan permintaan penduduk yang mahu kerajaan membayar pampasan kepada mereka. “Mereka mahu apa lagi? Kalau dialog ia tidak akan mengubah apa-apa. “Sekuat mana pun mereka membantah kerajaan tidak akan mengubah keputusan untuk merobohkan kawasan hitam ini,” tegasnya.