PRESIDEN Barack Obama dengan tegasnya menolak tanggapan bahawa calon Republikan, Donald Trump akan memenangi pilihan raya negara itu, sekali gus menggantikannya sebagai presiden Amerika Syarikat. "Saya sedar ramai yang memberi perhatian terhadap Trump, malahan ada yang secara terbuka bertanya apakah Trump akan menggantikan saya. "Di sini ingin saya katakan, Trump tidak akan menjadi pengganti saya," katanya pada majlis bagi mengumpul dana kempen pilihan raya calon Democratik di Santa Monica, California. Menurut Obama, ketika ini jutawan terkemuka Amerika Syarikat itu dan pesaingnya, Ted Cruz berkempen dengan mengetengahkan pelbagai isu semasa yang tidak sepatutnya disampaikan calon presiden. "Penduduk Amerika sepatutnya berterima kasih dengan Trump dan Cruz kerana hala tuju Amerika akan menjadi lebih baik jika dipimpin calon Demokratik, berbanding Republikan," katanya. Malahan, beliau juga menyingkap sumbangannya selama kira-kira tujuh tahun memerintah negara itu serta pelbagai perubahan yang dibawa untuk manfaat rakyat. "Kita tidak sepatutnya mudah berpuas hati, juga tidak memandang sinis dengan apa yang berlaku kerana ia boleh membawa risiko tinggi. "Apa yang penting adalah kita perlu menghargai setiap pencapaian yang diperoleh sepanjang tujuh setengah tahun bukan kerana masalah dapat ditangani, tetapi kerana perkembangan kukuh yang berlaku," katanya.