ORLANDO (Florida): Seramai 50 orang maut manakala 53 lagi cedera dalam insiden tembakan oleh seorang lelaki bersenjata di sebuah kelab gay di Florida, Amerika Syarikat pada awal pagi Ahad. Suspek yang melepaskan tembakan di Kelab Pulse dikenal pasti sebagai Omar S. Mateen. Menurut pegawai Biro Siasatan Persekutuan (FBI), suspek mungkin mempunyai pengaruh ke arah militan IS. Keadaan pengunjung kelab malam yang berlumuran darah dekat lokasi kejadian. Pihak berkuasa menyifatkan serangan itu sebagai insiden keganasan walaupun amaran mengaitkan suspek dengan militan memerlukan siasatan lanjut. Angka kematian diumumkan oleh Datuk Bandar Orlando, Buddy Dyer. "Hari ini kita berdepan dengan sesuatu yang tidak pernah kita bayangkan dan ia sesuatu yang tidak dapat dibayangkan," ujar Dyer. Angka kematian sebelum ini dimaklumkan seramai 20 orang, beliau bagaimanapun berkata: "Amat mendukacitakan bahawa jumlah kematian bukan 20 orang tetapi 50 orang. 53 lagi dimasukkan ke hospital." - Reuters