CHICAGO: Seorang banduan Amerika Syarikat (AS) menembak mati dua pegawai polis dan mencederakan timbalan Sherif di mahkamah Berrien Country, Michigan ketika cubaan melarikan diri pada Isnin. Namun banduan tersebut tidak berjaya melepaskan diri dan mati di tempat kejadian selepas pegawai polis yang lain membalas tembakan. Menurut Sherif Paul Bailey, timbalan Sherif serta seorang mangsa yang ditembak pada bahagian lengan telah dikejarkan ke hospital dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil. Nama penuh pegawai yang menjadi mangsa kejadian tersebut akan diumumkan selepas ahli keluarga membuat pengecaman mayat tersebut. "Saya telah kehilangan rakan-rakan dan berat hati ini untuk datang bagi melakukan siasatan. "Rasa lebih sedih kerana mereka merupakan teman sekerja kami semua," kata Bailey kepada pemberita. Penyiasat telah melakukan siasatan di tingkat tiga di mana kejadian tembak menembak itu berlaku. Mereka juga sedang mengkaji rakaman kamera keselamatan yang terdapat dalam bangunan tersebut.