suria

Singapura Lebih Waspada Selepas Rancangan Pengganas Gagal

BATAM, Indonesia: Singapura menggesa langkah berjaga-jaga dipertingkatkan pada Sabtu, sehari selepas polis Indonesia menahan sekumpulan lelaki dipercayai merancang untuk melancarkan serangan roket ke bandar raya itu dengan bantuan militan IS yang berpangkalan di Syria.

Kesemua enam suspek militan ditahan pada Jumaat dalam satu serbuan di pulau Batam, kira-kira 15 kilometer dari selatan Singapura.

Polis percaya serangan roket akan dilancarkan dari pulau itu.

Ketua polis tempatan, Sam Budigusdian berkata, mereka sedang ditahan dan siasatan akan diteruskan.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura, K. Shanmugam berkata, kumpulan lelaki itu merancang untuk menyerang Marina Bay yang turut menempatkan lokasi perlumbaan Formula Satu Grand Prix, roda buaian gergasi dan resort kasino.

"Ia menunjukkan bagaimana musuh kita berfikir dengan cara berbeza untuk menyerang kita," kata Shanmugam menerusi posting di Facebook.

"Pengganas... akan berusaha datang menerusi pintu masuk kita, mereka juga akan cuba melancarkan serangan dari luar. Dan ini sebagai tambahan kepada serangan secara persendirian dari kumpulan/individu dengan fahaman radikal."

Batam dihubungkan dengan Singapura menerusi pengangkutan feri dan resort pantai dan padang golf di pulau itu begitu terkenal sebagai destinasi hujung minggu di kalangan rakyat Singapura. - Reuters


Artikel Lain