JAKARTA: Satu letupan berlaku di Gereja Katolik St Yoseph di Medan, Sumatera Utara pada pagi Ahad selepas seorang lelaki membawa bahan letupan di dalam begnya. Kejadian pada pukul 8 pagi itu dilaporkan hanya mengakibatkan kecederaan pada dirinya sendiri. Seorang saksi, Timbas Tarigan memberitahu The Jakarta Post bahawa lelaki berkenaan duduk bersama yang lain di dalam gereja semasa letupan berlaku. Kecederaan ringan yang dialami tidak menghalangnya untuk cuba menyerang paderi menggunakan kapak yang dibawa keluar dari beg. Cubaannya bagaimanapun berjaya dihalang oleh mereka yang berada di dalam gereja. Usaha memindahkan keluar orang ramai dilakukan pada pukul 10.20 pagi. Polis turut menghapuskan baki bahan letupan di dalam beg berkenaan. Tarigan berkata, penganut agama turut menyedari peralatan milik lelaki itu mempunyai logo IS. – The Jakarta Post/Asia News Network