suria

Australia Memperingati 'Crocodile Hunter' Steve Irwin

SYDNEY: Australia memperingati Steve Irwin atau Crocodile Hunter sempena ulang tahun ke-10 kematian ikon selebriti televisyen dan aktivis pemuliharan haiwan dan alam sekitar itu.

Irwin yang terkenal di seluruh dunia kerana aksi beraninya dengan pelbagai haiwan berbahaya meninggal dunia pada 4 September 2006 selepas jantungnya tertusuk ikan pari gergasi ketika rakaman filem di kawawan terumbu karang di Queensland.

Ketika negara itu meraikan Hari Bapa pada Ahad, anak perempuannya, Bindi Irwin berkongsi kenangan mengenai bapanya di Instagram dan Twitter.

Juga disertakan gambar Irwin mendukungnya ketika bayi dengan kapsyen: "Kamu akan sentiasa menjadi hero sepanjang hidup ku. Kasih sayang ku kepada mu melebih segala-galanya."

Bindi yang kini berusia 18 tahun turut mempromosi usaha pemuliharaan yang dilakukan bapanya selama ini.

Rakan karib Irwin yang juga pengurusnya, John Stainton yang bersama ikon itu ketika kejadian sedekad lalu berkata, kenangan mengenainya masih kekal dalam ingatannya.

"Sukar untuk menceritakan detik sedih itu kerana tindakannya memberi kesan kepada semua. Tiada yang dapat menggantikan dia," katanya bercakap kepada radio ABC pada Jumaat.

Anak lelaki Irwin, Robert pula memberitahu laman berita Brisbane Times, dia kini sedang berusaha untuk menjadi jurukamera hidupan liar bagi mengikut jejak bapanya.

Terdahulu awal minggu ini, bapa Irwin, Bob mendedahkan surat tulisan anaknya ketika usianya 32 tahun yang baru ditemui untuk mengucapkan terima kasih kerana menyokong kerjayanya.--AFP


Artikel Berikut

Artikel Lain