MOSCOW: Detik-detik mendebarkan seekor anak kucing nyaris digilis kira-kira 13 kali, sempat dirakamkan di sebuah lebuh raya yang sibuk di Rusia baru-baru ini. Berdasarkan rakaman video keselamatan itu, anak kucing berkenaan dilihat hanya mampu duduk di tengah-tengah lebuh raya Kaliningrad pada Khamis lalu ketika haiwan itu cuba menyeberangi jalan tersebut. Secara keseluruhannya, kucing itu terkandas selama empat minit, tetapi rakaman selama 53 saat tersebut menunjukkan detik-detik cemas beberapa buah kenderaan nyaris melanggar haiwan itu. Antara babak paling mencemaskan ketika beberapa buah kenderaan mengelak pada saat-saat akhir daripada menggilis kucing tersebut. Namun anak kucing itu bernasib baik apabila seorang pemandu, dikenali sebagai Denis Degtyarev dari Primorsky sanggup memberhentikan kereta untuk menyelamatnya. Menurut laporan portal Life.au yang memetik kenyataan Degtyarev, kucing itu tidak mengalami sebarang kecederaan teruk, tetapi kelihatan terkejut. "Saya membawanya ke sekolah anak saya dan menyerahkan kepada kawan yang meminati kucing. "Anak kucing itu kini mempunyai keluarga baharu dan berada dalam keadaan selamat," katanya.