NEW YORK: Seekor anak lembu menjadi tarikan pengunjung di sebuah ladang ternakan di tengah Kentucky kerana haiwan itu dilahirkan dengan memiliki dua muka. Pemilik ladang itu, Stan McCubbin dari Campbellsville, berkata, pada mulanya dia menyangka akan memiliki anak lembu kembar tetapi kemudiaannya menyedari keunikan pada anak lembu betina tersebut yang dilahirkan pada Jumaat lalu. Menurut McCubbin, lembu itu memiliki dua hidung, dua mulut dan empat mata, dua daripadanya yang terletak di bahagian tengah muka tidak berfungsi. "Walaupun anak lembu yang dinamakan Lucky itu boleh berjalan, tetapi hanya buat seketika kerana ia akan berpusing sebelum terjatuh. "Nama Lucky itu diberikan oleh anak perempuan saya, Kenley yang menggangap anak lembu tersebut bertuah kerana masih hidup," katanya seperti dilaporkan portal WDRB-T. Keunikan Lucky memiliki dua muka menjadi tarikan orang ramai untuk berkunjung ke ladang milik keluarga McCubbin. - AGENSI Isteri McCubbin, Brandy berkata, kebanyakan anak lembu yang memiliki genetik mutasi, akan mati sebaik dilahirkan tetapi Lucky dilihat mampu bertahan buat masa ini. "Anak lembu ini membawa tuah kepada kami kerana ramai orang berkunjung ke rumah untuk melihatnya. "Tetapi kami juga sedar kemungkinan Lucky tidak mampu hidup lama," katanya.