BEIJING: Tiga kanak-kanak di China mengalami detik-detik ngeri digilis sebuah kereta ketika sedang bermain di tengah-tengah jalan raya, baru-baru ini. Dalam kejadian yang berlaku di Shenzhen itu pada 17 September lalu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) selama 33 saat pada awalnya menunjukkan tiga kanak-kanak terbabit sedang duduk di tengah-tengah jalan sebelum dihampiri sebuah kereta berwarna putih yang baru keluar dari simpang. Bagaimanapun kesemua kanak-kanak itu kelihatan tidak menyedari kehadiran kereta berkenaan yang dipandu oleh seorang wanita. Pemandu terbabit terus menekan minyak, menyebabkan ketiga-tiga budak lelaki malang tersebut, dua daripadanya dipercayai berusia lima tahun dan seorang lagi berusia enam tahun, terperosok masuk ke bawah kereta. Turut kelihatan tangan seorang daripada kanak-kanak itu digilis tayar kereta sebelum pemandu wanita tersebut yang hanya dikenali sebagai Zeng menghentikan keretanya. Menurut laporan portal People's Daily Online, kesemua kanak-kanak itu terselamat walaupun mengalami kecederaan patah tulang dan luka calar. Zeng kemudiannya ditahan pihak polis untuk ujian alkohol tetapi dia didapati tidak mabuk dalam kejadian itu. Namun ramai pengguna laman sosial percaya Zeng menggunakan telefon ketika memandu menyebabkan dia tidak perasaan ketiga-tiga kanak-kanak berkenaan. Siasatan ke atas kes itu masih dijalankan tetapi tidak dapat dipastikan sama ada Zeng akan didakwa atas kejadian tersebut.