suria

Video Polis Tembak Mati Lelaki Tanpa Senjata Cetus Kemarahan

NEW YORK: Isu penindasan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) ke atas golongan kulit hitam terus mencetuskan kemarahan orang ramai susulan insiden terbaharu yang menyaksikan seorang polis wanita berkulit putih menembak mati lelaki berkulit hitam yang tidak bersenjata baru-baru ini.

Jabatan Polis Tulsa di Oklahoma pada Selasa menyiarkan rakaman helikopter polis dan kamera papan pemuka kereta peronda yang menunjukkan mangsa, Terence Crutcher, 40, tanpa memiliki sebarang senjata, ditembak mati oleh anggota polis wanita, Betty Shelby dalam kejadian yang berlaku kira-kira 7.40 malam waktu tempatan pada Jumaat lalu.

Berdasarkan rakaman dari helikopter, Crutcher pada awalnya dilihat mengangkat kedua-dua belah tangan dan berjalan menjarakkan diri dari Shelby yang mengekorinya sambil mengacukan pistol ke arah lelaki tersebut.

Kemudian rakaman kamera papan pemuka menunjukkan tiga lagi anggota polis menghampiri Shelby sebelum Crutcher ditembak mati kira-kira 30 saat selepas itu.

Sebelum video kejadian berkenaan disiarkan, Ketua Polis Tulsa, Chuck Jordan mengesahkan mangsa tidak memiliki senjata sama ada dipegang atau disimpan di dalam kereta.

Jurucakap polis, Jeanne MacKenzie berkata, Shelby tidak mengaktifkan kamera papan pemuka kereta perondanya manakala kereta peronda kedua mengaktifkan peralatan itu untuk merakam kejadian tersebut.

Sementara itu, Shelby mendakwa Crutcher berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian berkenaan dan enggan mendengar arahannya, tetapi orang ramai mempertikaikan tindakannya menembak mangsa yang melakukan sebarang ancaman.

Siasatan terhadap kes tersebut masih lagi diteruskan.

Kejadian terbabit ternyata mengundang kemarahan ramai pihak termasuk adik kembar mangsa, Tiffany Crutcher yang mengkritik anggota polis di dalam helikopter melabel abangnya kelihatan seperti lelaki jahat.

"Anda mahu tahu siapa sebenarnya lelaki jahat itu?

"Dia merupakan abang kembar saya, seorang ayah, seorang anak dan seorang pelajar yang mahu membuatkan kami sekeluarga berasa bangga," katanya.

Insiden sedemikian terus membangkitkan kemarahan rakyat AS terutamanya golongan kulit hitam yang mengecam tindakan pihak polis menggunakan kekerasan melampau sehingga menyebabkan kematian.

Antara kes yang menjadi perhatian sejak kebelakangan ini termasuk kes kematian lelaki kulit hitam, Akai Gurley, 28 yang ditembak mati di Brooklyn, New York walaupun mangsa tidak memiliki senjata.

Bapa kepada enam orang anak, Eric Garner turut menjadi mangsa kekejaman polis apabila dicekik mati pada 17 Julai oleh anggota polis, Daniel Pantaleo yang tidak dikenakan sebarang tindakan. - AFP

Kes Tembakan, Perkauman

Artikel Berikut

Anak Lembu Dua Muka Jadi Tarikan

Artikel Lain