suria

Peluncur Lelaki Cedera Diserang Jerung

Kesan gigitan jerung pada mangsa yang dimuatnaik Knapp menerusi akaun Instagramnya.

SYDNEY: Seorang lelaki terselamat apabila hanya cedera di kaki akibat digigit jerung ketika sedang bermain papan luncur di pantai berdekatan Teluk Byron di timur Australia, pagi Isnin.

Kejadian awal pagi di pantai antara Suffolk Park dan Broken Head itu berlaku apabila seekor jerung merempuh papan luncur lelaki berkenaan.

Susulan itu, pihak berkuasa terpaksa menutup kawasan pantai sepanjang 800 kilometer di utara Sydney selama 24 jam.

"Dipercayai jerung itu tiba-tiba timbul dari bawah papan luncur mangsa ketika dia sedang menunggu ombak," kata Surf Life Saving, New South Wales.

Sementara itu, saksi kejadian, Geoffrey Knapp berkata, mangsa adalah salah seorang daripada kumpulan peluncur di kawasan itu.

Katanya, ada banyak ikan lumba-lumba pagi tadi berenang bersama peluncur.

"Saya dapat lihat dua peluncur di hadapan mula mengayuh pantas ke arah pantai dan ia bagaikan ada sesuatu yang tdak kena, mungkin mereka tersilap kerana menganggap sekumpulan ikan lumba-lumba itu adalah jerung.

"Rakan saya melambai-lambai ke arah saya dan dia juga bergegas ke pantai, jadi ia menguatkan lagi tanggapan bahawa memang ada sesuatu yang tak kena. Jadi kami berempat terus pantas berenang ke pantai," kata Knapp.

Kejadian berlaku hanya seminggu selepas seorang lagi peluncur ombak cedera ringan selepas bertembung dengan jerung di Teluk Byron dekat Ballina, lokasi yang dikatakan sering berlaku serangan jerung. - AFP

Teluk Byron, jerung, Australia

Artikel Lain