suria

AS Cadang Rekrut Kaki Ganja, Golongan Obesiti Masuk Tentera

Anggota Marin AS menjalani latihan fizikal di kem tentera di Parris Islan dekat South Carolina pada 27 Februari 2016. - AFP

WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) mempertimbangkan untuk menilai semula amalan rekrut askar baharu termasuk kemungkinan membenarkan golongan yang ibu atau bapa tunggal, golongan obesiti dan kaki ganja.

Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Pertahanan AS, Ashton Carter yang menyuarakan kebimbangan bahawa pihak tentera akan terlepas pandang terhadap kumpulan rekrut yang berpotensi disebabkan perkara yang remeh.

Namun beliau menegaskan, penilaian semula prosedur merekrut itu tidak menunjukkkan tentera AS berdepan kekurangan sumber manusia untuk menyertai pasukan beruniform.

"Pihak tentera berdepan cabaran untuk mengambil rekrut berpotensi tinggi yang berdepan masalah fizikal, tatu yang dicacah ketika mereka masih muda dan isu ibu atau bapa tunggal.

"Tentera tidak akan berkompromi untuk mengambil golongan tersebut tetapi pada masa yang sama penetapan syarat itu perlu relevan bagi menjamin masa depan tentera pada hari ini dan masa akan datang," katanya.

Carter telah mengarahkan Pentagon untuk menilai semula dan mengemaskini sebarang syarat kemasukan yang tidak penting.

Berdasarkan kenyataan Pentagon, tentera akan mengkaji semula syarat pendaftaran untuk memastikan peraturan tidak terlalu ketat selain mempertimbangkan kemungkinan melonggarkan syarat berat badan, kecergasan fizikal, ujian berenang, rekod penglibatan dalam penggunaan ganja lalu , ibu tunggal dan tatu.

Colorado, Washington DC, Washington state, Alaska dan Oregon telah menghalalkan penggunaan ganja dan 20 negeri lain membenarkan bahan itu digunakan untuk tujuan perubatan tetapi undang-undang persekutuan masih menetapkan kesalahan menghisap ganja.

Sesetengah perkhidmatan dalam tentera juga melonggarkan peraturan seperti yang dilakukan Tentera Laut AS (Navy) yang membenarkan tatu dicacah pada lengan dan leher.

Berdasarkan tinjauan, kira-kira 47 peratus rakyat AS yang lahir pada tahun 1980-an dan 1990-an memiliki sekurang-kurangnya satu tatu. - AFP



Amerika Syarikat, Rekrut

Artikel Sebelum

Pusat Karaoke Terbakar, 13 Maut

Artikel Berikut

Artikel Lain