NEW DELHI: Seorang kanak-kanak India yang pernah menggemparkan dunia kerana penderitaannya memiliki kepala terkulai akibat otot leher yang lemah, disahkan meninggal dunia baru-baru ini. Mahendra Ahirwar menghidap penyakit ‘congenital myopathy’ atau otot lemah pada bahagian leher, seakan-akan tergantung, baru lapan bulan merasai kehidupan normal selepas menjalani pembedahan meluruskan lehernya pada Februari lalu. Namun kanak-kanak berusia 13 tahun tersebut, meninggal dunia di rumahnya pada pagi Sabtu lalu walaupun tidak menunjukkan sebarang petanda dia mengalami komplikasi kesihatan. Ibunya, Sumitra, 36, berkata, anaknya meninggal dunia kira-kira pukul 3 petang, selepas Mahendra menikmati makan tengahari, dan menonton televisyen sambil baring. Malah kematiannya itu turut mengejutkan pakar yang terlibat dalam pembedahan membetulkan leher Mahendra, Dr Rajagopalan Krishnan. “Kemungkinan kematian itu berpunca daripada masalah jantung atau paru-paru dan kebanyakan kes sedemikian berlaku tanpa sebarang petanda. “Saya masih ingat lagi, kegembiraan yang terpancar diwajahnya apabila kepalanya dalam keadaan lurus dan detik itu menguatkan azam saya untuk melakukan pembedahan ke atas kanak-kanak yang mengalami masalah kecacatan sama,” katanya. Sementara itu, bapa Mahendra, Mukesh Ahirwar, 42, berkongsi rasa sedihnya atas pemergian Mahendra. "Saya mempunyai banyak rancangan dan impian untuknya. Saya mahu dia membesar. Dia bercita-cita untuk membuka kedai runci dan kami mahu bantu dia. Kini segalanya musnah. "Pagi itu ( hari kejadian) dia bermain, sarapan dan mandi sebelum bersiar-siar dengan kerusi rodanya dalam rumah. Selepas makan tengah hari, dia meminta untuk menonton TV. Saya buka rancangan kartun untuknya dan dia batuk sebanyak dua kali. "Dia meminta saya mengurut dadanya dan cuba batuk untuk kali ketiga, namun selepas itu dia sudah tiada. Saya mula menangis dengan kuat dan memanggil namanya. "Saya kemudian berlari ke luar rumah dan meminta jiran untuk menelefon doktor. Doktor sampai 15 minit kemudian dan mengesahkan dia sudah meninggal. Saya terduduk ke lantai dan memegangnya dengan kuat. Saya tak mahu lepaskan dia pergi," katanya. http://www.dailymail.co.uk/news/article-3913126/Tragic-end-boy-born-head-upside-Indian-teenager-story-moved-world-dies-just-eight-months-life-changing-surgery.html