suria

Pelajar Jepun Tolak Kekasih Jatuh Atas Landasan Didakwa Cuba Membunuh

PINTU keluar stesen kereta api Hiyoshi dekat Yokohama. - Ihsan WIKIMEDIA COMMONS

TOKYO: Seorang pelajar universiti di Jepun ditahan pada Ahad lalu kerana menolak teman wanitanya sehingga terjatuh di atas landasan kereta api di stesen Yokohama Hiyoshi, dekat Yokohama.

Pelajar tahun ketiga Universiti Keio, Yuki Ozawa, 22, didakwa atas cubaan membunuh wanita tersebut yang berusia 21 tahun, juga belajar di tempat yang sama.

Dalam kejadian tersebut, pasangan kekasih itu dalam perjalanan pulang bersama sekumpulan pelajar lain selepas menyertai satu majlis dan mereka berdua mula bertengkar sama ada mahu melepak lagi.

Mangsa kemudiannya ditolak oleh Ozawa sehingga terjatuh ke atas landasan tetapi tindakan pantas seorang penumpang yang memaklumkan kejadian itu kepada seorang staf stesen berjaya menyelamatkan wanita tersebut.

Staf terbabit sempat menekan butang kecemasan ketika sebuah kereta api ekspres menghampiri stesen dan terhenti secara automatik kira-kira 400 meter dari mangsa.

Wanita itu mengalami luka kecil di bahagian lutut dan keadaan dilaporkan stabil.

Ozawa mengakui kepada polis dia sengaja menolak teman wanitanya itu kerana hilang sabar tetapi tidak berniat untuk membunuhnya. -  The Straits Times/ Asia News Network

Bunuh, Jepun

Artikel Lain