NEW YORK: Vladimir Putin adalah orang yang paling berkuasa di dunia untuk tahun keempat berturut-turut pada 2016, sementara Presiden Amerika Syarikat yang baharu dipilih, Donald Trump berada di tempat kedua. Perkara itu dinyatakan majalah Forbes menerusi ranking tahunannya. "Presiden Rusia itu telah menggunakan pengaruh negaranya dalam hampir setiap sudut di dunia," demikian tulis majalah perniagaan AS berkenaan. "Dari tanah airnya ke Syria hingga ke pilihan raya presiden Amerika Syarikat, Putin terus mendapat apa yang dia mahu." Pemimpin Rusia berusia 64 tahun itu "tidak dikekang oleh norma global konvensional (dan) jangkauannya semakin meluas pada tahun-tahun kebelakangan ini," kata Forbes. Menurut majalah itu lagi, Trump yang baharu sahaja mengambil alih jawatan Presiden AS "mempunyai imuniti." Trump, yang dipilih sebagai Presiden Amerika Syarikat bulan lalu, telah disenaraikan di tangga ke-72 pada 2015 oleh Forbes. Sementara itu Canselor Jerman, Angela Merkel disenaraikan di kedudukan ketiga. Barack Obama, yang tersenarai di tempat kedua pada 2015 menjunam ke tempat ke-48 tahun ini susulan kekalahan Parti Demokratik di tangan Trump. Tempat keempat adalah milik Presiden China, Xi Jinping, manakala tempat kelima dalam senarai itu adalah Pope Francis.