ALEPPO: Serangan udara dan artileri yang berterusan telah menangguhkan usaha untuk memindahkan penduduk di daerah ini pada Rabu. Menurut saksi di lokasi pemindahan, tiada siapa yang meninggalkan kawasan yang dikepung itu menjelang Subuh. Sebanyak 20 bas menunggu dengan enjin dihidupkan tetapi tiada tanda kenderaan itu akan bergerak ke kawasan lain yang dikuasai penentang. Pemindahan itu adalah kemuncak serangan selama dua hari yang menyaksikan tentera kerajaan mara ke Aleppo dan kumpulan penentang berundur serta berpecah akibat serangan udara dan artileri bertali arus. Mengikut perancangan, Iran yang menyokong Presiden Syria, Bashar al-Assad mahu pemindahan penduduk cedera di kampung Foua dan Kefraya. Kawasan ini telah dikepung kumpulan penentang. Kumpulan penentang berkata, permintaan Iran itu hanya alasan untuk menangguhkan proses pemindahan. Gencatan senjata yang diumumkan Rusia dan Turki bertujuan menamatkan pertempuran selama bertahun-tahun di Aleppo dan ia dianggap antara kemenangan terbesar Bashar dalam perang selama lima tahun di Syria. Bagaimanapun, serangan artileri dan pertempuran yang tercetus semula pagi Rabu bagai mengetepikan persetujuan gencatan senjata itu. Stesen televisyen Syria melaporkan, kumpulan penentang melancarkan serangan artileri ke daerah Bustan al-Qasr, yang baru-baru ini ditawan semula tentera, menyebabkan enam orang maut. Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov berkata, serangan kumpulan penentang itu dijangka berakhir dalam tempoh dua atau tiga hari lagi. Dengan menguasai Aleppo sepenuhnya, Bashar membuktikan kekuatan perikatan tenteranya yang dibantu tentera udara Russia dan pejuang dari dari beberapa kumpulan Syiah di rantau itu. Kumpulan penentang mendapat sokongan Amerika Syarikat, Turki dan negara Teluk tetapi sokongan itu tidak mencukupi bagi menghadapi bantuan secara langsung yang diterima Bashar daripada Rusia dan Iran.- Reuters