PADA usia 70 tahun, Luciano Baietti sudah memiliki 15 ijazah sarjana dari pelbagai universiti di seluruh Itali dan bakal memiliki pengiktiran pendidikan yang ke-16 tidak lama lagi. Pencapaian tersebut sekali gus membuatkan pesara guru besar sekolah itu mencatat rekod dunia Guinness sebagai individu paling banyak memperoleh ijazah universiti. Memiliki lebih daripada satu ijazah bukanlah perkara biasa tetapi 15 kelulusan tertinggi merupakan pencapaian menakjubkan. Walaupun menghabiuskan masa seharian di rumah dan taman seperti golongan seusianya, Baietti sanggup menjadi pelajar semula. Seawal 3 pagi pada setiap hari, Baietti akan berjaga untuk menelaah buku kerana baginya, tabiat itu membuatkan fikirannya sentiasa aktif dan membantu dalam pengajiannya. "Terima kasih kepada buku kerana membuatkan saya rasa bebas," katanya. Baietti mencatat rekod dunia buat kali pertama pada 2002 apabila memperoleh ijazah kelapan tetapi usahanya tidak terhenti setakat itu. Selepas memiliki ijazah dalam pendidikan fizikal, sosiologi, bahasa, undang-undang, falsafah sains politik dan kemahiran pemotoran, Baietti menghabiskan masa selama 15 tahun untuk menambah lagi tujuh ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana dalam hidupnya. Kebanyakannya diperoleh daripada Universiti La Sapienze di Rome, sebuah daripada institusi pengajian tertua di dunia. Selain itu, Baietti memperoleh pengiktirafan daripada universiti di Turin dan pengajian dalam talian di Naples. Kini Baietti turut memiliki ijazah dalam strategi ketenteraan dan kriminologi. "Setiap kali menyambung pengajian, saya akan menganggapnya sebagai cabaran baharu untuk menguji kemampuan fizikal dan mental saya. "Malah saya yakin masih memiliki kekuatan untuk memiliki satu lagi ijazah iaitu jurusan sains pemakanan," katanya.