CALIFORNIA: Sejak mengumumkan pencalonan sebagai Presiden Amerika (AS), Donald Trump sudah menerima pelbagai gelaran termasuk anti-Islam, rasis, gila perempuan dan gila seks. Namun bagi seorang wanita di California, Gayle McCormick, dia menggelar Trump sebagai 'penghancur rumah tangga' selepas kecewa dengan sokongan suaminya terhadap Presiden AS ke-45 itu. Wanita berusia 71 tahun itu yang merupakan pesara pengawal penjara, menyifatkan dirinya sebagai penyokong tegar Parti Demokrat bersama suaminya yang dikahwini sejak 22 tahun lalu. Namun McGormick rasa dikhianati apabila suaminya secara bersahaja memberitahu mahu mengundi Trump semasa mereka menikmati hidangan tengah hari sebelum Pilihan Raya Presiden diadakan. Pengakuan suaminya itu membuatkan wanita berkenaan mengambil keputusan untuk meninggalkan lelaki tersebut yang sebenarnya sudah lama menyokong Trump. "Saya tidak sangka dia sanggup mengundi Trump. "Saya rasa seperti diperbodohkan dan mendedahkan perbezaan antara kami berdua yang tidak pernah diketahui sebelum ini," katanya. Bagaimanapun perkahwinan mereka tidak berakhir dengan penceraian kerana McCormick merasakan mereka sudah terlalu tua untuk berdepan proses tersebut. Sebaliknya, wanita itu mengambil keputusan tidak tinggal bersama tetapi masih pergi bercuti jika ada kelapangan. "Saya sudah letih berbalah tentang politik dengan suami saya. "Saya tidak mahu menghabiskan masa 24 jam untuk berdebat dengannya tentang politik," kata wanita itu. Suami wanita tersebut yang enggan dinamakan, tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut.