suria

UAE Mahu Bina Penempatan Manusia Di Marikh

DUBAI: Kerajaan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) merancang projek baharu untuk membina penempatan manusia pertama di planet Marikh menjelang tahun 2117.

Inisiatif itu yang dikenali sebagai Projek Marikh 2117, diumumkan pada Selasa oleh pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum yang juga Naib Presiden UAE pada Persidangan Kerajaan Sedunia Kelima yang berlangsung di negara itu.

"Usaha untuk menghantar manusia ke planet lain sudah lama diimpikan.

"Objektif kami adalah untuk memastikan UAE mengetuai usaha antarabangsa menjadikan impian tersebut sebagai realiti," kata beliau.

Sheikh Mohammed berkata, negaranya merupakan satu daripada negara yang mengetuai pelaburan sains angkasa dan UAE mahu meningkatkan lagi kajian dalam bidang tersebut.

"Projek Marikh 2117 merupakan benih (asas) yang kita usahakan dan generasi seterusnya akan memainkan peranan untuk mengkaji ilmu baharu," katanya.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat media kerajaan Dubai, projek itu akan dibangunkan dan dilaksanakan menerusi kerjasama dengan beberapa institusi kajian saintifik di seluruh dunia.

Tumpuan awal terhadap projek itu adalah mengkaji penyediaan penempatan manusia di Planet Merah dalam tempoh beberapa dekad.

Usaha itu akan dimulakan oleh pasukan saintis UAE sebelum melibatkan pakar sains dari seluruh dunia.

Selain itu, projek berkenaan akan menumpukan perhatian terhadap cara mempercepatkan proses pengangkutan dari Bumi ke Marikh.

Pada Julai 2014, UAE mengumumkan untuk mewujudkan agensi angkasa dengan sasaran menghantar robot peninjau pertama dari negara Arab ke Marikh menjelang tahun 2021.


UAE, Marikh

Artikel Sebelum

Siapa Kim Jong-nam?

Artikel Berikut

Artikel Lain