suria

Pilihan Raya Gabenor Jakarta Jadi Tumpuan

SEORANG penduduk membuang undi di pusat pengundian di Jakarta pada 15 Februari 2017. - AP

JAKARTA: Berjuta-juta penduduk Indonesia keluar mengundi pada pilihan raya tempatan, Rabu dan kerusi Gabenor Jakarta paling menjadi tumpuan selepas kempen selama empat bulan di ibu negara itu dibayangi ketegangan agama.

Pusat pengundian dibuka lebih awal di wilayah Papua di timur Indonesia sebelum undian di Jakarta tersebut bermula beberapa jam kemudian.

Secara keseluruhan, sebanyak 101 pemilihan diadakan di seluruh Indonesia untuk memilih pemimpin wilayah, bandar dan daerah.

Tumpuan pastinya beralih di Jakarta yang menyaksikan pemenang kerusi gabenor berpeluang luas untuk bertanding dalam pilihan raya presiden.

Kempen pilihan raya Gabenor Jakarta sebelum ini dibayangi ketegangan agama susulan kenyataan kontroversi penyandang jawatan itu, Basuki Thahaja Purnama atau Ahok yang didakwa menghina agama Islam.

Ahok yang masih dalam perbicaraan kes menghina Al-Quran, turut bertanding dalam pilihan raya tersebut tetapi kemenangan dikhuatiri mencetuskan bantahan penduduk Islam yang sebelum ini mengadakan demonstrasi terhadap beliau.

Ahok yang merupakan penganut Kristian berketurunan Cina, berdepan cabaran daripada dua calon beragama Islam, Agus Yudhoyono, anak bekas Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan bekas menteri pendidikan, Anies Baswedan..

Keputusan awal pilihan raya tersebut dijangka dikeluarkan seawal pukul 3 petang waktu Malaysia.

Indonesia, Gabenor Jakarta, Ahok

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain