BANGKOK: Seorang warga Ukraine ditahan kerana disyaki terlibat dalam rangkaian sindiket transnasional menggunakan kad kredit palsu untuk mengeluarkan wang tunai lebih 10 juta baht (RM1.3 juta) menerusi ATM di Thailand. Oleksandr Karchkovskyi, ditahan pada Rabu ketika cuba menggunakan kad kredit untuk membeli produk di pusat membeli belah di Pratunam. Ketua Biro Polis Imigresen (IPB), Nathathorn Prousoontorn berkata, penahanan itu dilakukan penyiasatnya selepas lebih 10 juta baht dicuri daripada ATM Bank Simpanan Kerajaan (GSB) seluruh negara itu oleh geng transnasional Rusia. Leftenan Jeneral Nathathorn berkata, pihaknya juga memeriksa bilik sewa suspek di daerah Ratchathewi dan menerusi komputeri ribanya, diperoleh maklumat mengenai perancangannya untuk melancarkan serangan elektronik besar-besaran ke atas ATM di negara itu. "Lelaki yang telah tinggal melebihi tempoh yang ditetapkan ini merancang menggunakan perisian malware untuk mengganggu program ATM, sekali gus mengakibatkan ia mengeluarkan wang tunai," katanya. Lelaki berusia 31 tahun ini masuk ke Thailand pada 11 Mac tahun lalu menggunakan visa pelancong yang sah sehingga 25 Mac sahaja. Pemeriksaan itu juga, katanya, telah menemui 56 kad plastik dengan jalur magnatik dan sejumlah besar kelengkapan untuk menghasilkan kad kredit palsu. Hasil soal siasat, suspek mengakui memperoleh maklumat berkaitan pemegang kad kredit Amerika Syarikat dan Eropah daripada jaringan sindiket kad kredit antarabangsa yang dikenali sebagai CreditCard Mafia. Sementara itu, pihak berkuasa sama di Chon Buri turut menahan Roland Georg Ilmer, 57, warga Austria kerana terlibat dalam penyeludupan dadah melibatkan 98 kilogram ganja.-Bangkok Post