suria

Ahli Astronomi Temui Tujuh Planet Menyerupai Bumi

PENGKAJI astronomi mengesan tujuh planet yang menyerupai bumi dan menunjukkan ciri-ciri berpotensi menemui kehidupan di luar sistem suria.

Tiga daripadanya berada pada kedudukan sempurna, sesuai untuk menghasilkan air yang penting untuk hidupan. 

Kedudukannya yang dekat dengan bumi dan bintang kerdil merah yang digelar Trappist-1, akan membolehkan ahli astronomi memahami sifat atmosfera setiap planet.

Sistem Trappist-1, yang hanya sejauh 39 tahun cahaya, mempunyai bilangan planet bersaiz bumi terbesar yang mengorbit satu bintang tunggal.  

Penulis dari Universiti Liege, Belgium yang juga pengkaji astronimi, Michael Gillon berkata, kajian terperinci boleh dilakukan terhadap tujuh planet itu termasuk berkaitan kehidupan.

"Lebih banyak maklumat akan diketahui dari semasa ke semasa berkaitan planet ini dalam masa beberapa bulan dan tahun akan datang," katanya.

Sekumpulan penyelidik antarabangsa menggunakan teleskop angkasa dan darat untuk mengesan tujuh planet Sistem Trappist-1.

Antara teleskop yang digunakan adalah milik Universiti John Moores Liverpool di La Palma dan Nasa Spitzer Space Telescope.

Menurut laporan jurnal Nature, secara kasar, tujuh planet itu sepadan dengan saiz dan jisim bumi serta muka bumi berbatu. 

Penemuan ini sekali gus membolehkan penyelidik mencari bukti kimia wujudnya sebarang aktiviti biologi. 

Penulis bersama kajian dan saintis di Universiti Cambridge, Amaury Triaud, berkata pihaknya merintis langkah penting ke arah mencari kehidupan di luar sana.

"Sehingga kini, saya tidak fikir kita mempunyai planet yang tepat untuk mengetahuinya. Sekarang, kita mempunyai sasaran yang betul," katanya kepada media.


 


Trappist-1, astronomi

Artikel Lain