BEIJING: Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan berpuluh-puluh mangsa lagi dikhuatiri terperangkap dalam kejadian kebakaran di sebuah hotel di China pada Sabtu. Kebakaran itu berlaku di bangunan bertingkat di Nanchang, ibu wilayah Jiangxi dan kira-kira 14 mangsa turut dilaporkan cedera. Rakaman detik-detik mencemaskan insiden itu menunjukkan asap tebal menyelubungi hotel tersebut dari beberapa tingkat dan bumbung bangunan tersebut. Jumlah mangsa yang terperangkap masih belum diketahui tetapi lebih 10 pekerja pembinaan berada di tingkat dua ketika kebakaran itu berlaku. Seorang lelaki dilaporkan melompat keluar dari tingkap tingkat dua bangunan berkenaan dan mengalami kecederaan. Hotel empat tingkat itu bersambung dengan pangsapuri setinggi 24 tingkat dan jumlah penduduk di bangunan tersebut tidak dapat dipastikan. Sebanyak 10 jentera bomba dikejarkan ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran yang masih belum diketahui puncanya.