suria

Cinta Dorong Pemuda India Berbasikal 11,000km Ke Sweden

NEW DELHI: Pelukis jalanan berusia 24 tahun dan berasal dari keluarga miskin di India membuktikan kasih sayangnya kepada isteri tercinta apabila berbasikal sejauh 11,000 kilometer ke Sweden.

Kisah cinta pasangan itu bermula apabila Charlotte Von Schedvin ketika itu berusia 20 tahun mendapatkan khidmat P.K.Mahanandia untuk melukis wajahnya pada Disember 1975.

Ketika itu, Charlotte melancong ke India dan mereka dipertemukan di lokasi Mahanandia melukis, Delhi Connaught Place.

Pencintaan yang menarik ini telah dibukukan dan terjemahannya dalam bahasa Inggeris hasil pengarang Sweden, Per J. Andersson yang diterbitkan pada 2013.

Buku The Amazing Story Of The Man Who Cycle From India To Europe For Love itu berada dipasaran bulan lalu dan  mendapat sambutan hangat. 

Bercakap kepada The Sunday Times menerusi Skype dari kediaman mereka di Boras, Sweden - sebuah ladang dengan empat tasik dan hutan, kedua-duanya mengimbas kembali kisah mereka lebih 40 tahun lalu.

Kata Charlotte, dia terlihat seorang pelukis berambut kerinting duduk berhampiran pancutan air di Connaught Place dan mahu mencuba kepakarannya yang dikatakan mampu melukis potret dalam masa 10 minit untuk 10 rupee.

Mahanandia, 65 pula berkata, pertemuan itu berlaku pada petang musim sejuk apabila dia didatangi wanita berambut perang yang bermata biru.

"Dalam hati saya terdetik, dia bagaikan bidadari."

Charlotte membuatkan saya gemuruh hinggakan Mahanandia yang juga graduan seni halus Kolej Seni Delhi tidak keruan, malahan jari-jemarinya terketar-ketar ketika melukis wajah gadis itu.

Situasi itu dihadapinya apabila mengingatkan kata-kata tukang tilik bahawa dia akan mendapat jodoh 'orang jauh', berbintang Taurus dan memiliki hutan.

"Saya langsung tidak bertanyakan namanya, sebaliknya bertanya apakah dia dilahirkan pada Mei, berbintang Taurus dan memiliki hutan dan ya adalah jawapannya untuk semua soalan itu.

"Pada saat itu saya tahu dialah jodoh saya dan terus memberitahu Charlotte dia akan menjadi isteri saya," katanya.



Cinta pandang pertama itu berakhir dengan perkahwinan kira-kira tiga minggu selepas itu apabila Charlotte juga mempunyai perasaan sama terhadap Mahanandia.

Mereka berkahwin di Orrisa, kampung halaman Mahanandia yang kini dikenali sebagai Odisha.

Selepas itu, Charlotte pulang ke negara asalnya dan Mahanandia berjanji akan menyusul.

Selepas mengumpul wang dan menjual beberapa barangan miliknya, Mahanandia membeli basikal terpakai pada harga 60 rupee dan memulakan pengembaraannya.

"Pada 22 Januari 1977 berbekalkan AS$80 (RM356) dan berus lukisan saya memulakan perjalanan.

"Ada ketikanya saya melukis dan mendapat makanan dan tempat tinggal," katanya yang turut mendapat liputan media The Kabul Times apabila terpaksa menjual darah untuk mendapatkan wang bagi membiayai perjalanannya.

"Berita mengenai perjalanan berbasikal saya ini juga membolehkan saya mendapat lebih ramai pelanggan," katanya.

Selepas empat bulan, pada 28 Mei akhirnya Mahanandia tiba ke Venice, Gothenburg kira-kira 70 km dari Boras menaiki kereta api.

Isteri kesayangannya setia menunggu di stesen berkenaan.

"Dia terus memeluk saya walaupun ketika itu bau badan saya agak kurang menyenangkan," katanya.

Pasangan itu kini masing-masing bekerja sebagai guru seni dan muzik telah dikurniakan dua cahaya mata, Emelie, 31, pakar ekonomi industri tekstil dan adiknya, Karl-Siddhartha, 28, juruterbang helikopter.











Boras, Mahanandia, Charlotte

Artikel Lain