LOS ANGELES: Temubual stesen televisyen BBC bersama seorang pakar sains politik mengenai krisis di Korea Selatan terganggu seketika apabila dua anaknya meluru masuk ke dalam bilik lokasi temubual sedang berlangsung. Rakaman video menunjukkan Robert Kelly, profesor sains politik di Universiti Kebangsaan Pusan, Busan sedang menjawab beberapa soalan mengenai presiden negara itu, Park Geun-hye yang dipecat selepas dikaitkan dengan skandal rasuah. Namun secara tiba-tiba, dua anaknya, Marion, 4, dan James yang baharu berusia sembilan bulan meluru masuk ke dalam bilik semasa temubual sedang diadakan. Insiden itu disedari isteri Kelly, Jung-a Kim yang kemudian membawa keluar dua anaknya dari bilik tersebut. Adegan isterinya itu turut dirakamkan dan menjadi tular di laman media sosial. Nenek dua beradik itu, Elly Kelly dari Universiti Height di Cleveland, Ohio memberitahu DailyMail.com bahawa cucunya itu mungkin menjangka bapa mereka sedang membuat panggilan video dengan mereka. Menurut Kelly, dia dan suaminya, Joseph sering membuat panggilan menggunakan aplikasi Skype bersama dengan Robert dan isteri serta dua anak mereka di lokasi sama temubual itu diadakan. "Robert sering membuat panggilan video dengan kami dari pejabatnya di rumah, lokasi sama dia ditemubual. "Anak-anaknya mungkin terdengar bunyi dari komputer dan ingat panggilan itu dari kami. Ia amat melucukan," kata Kelly. Kelly, 72, menjelaskan anaknya Robert merupakan pakar politik di Korea Selatan dan pernah mengadakan temubual bersama beberapa stesen TV termasuk CNN, CNBC, Sky News dan ITN.