suria

Dusseldorf Gempar Lagi, Warga Tua Diserang

BEBERAPA jam selepas sembilan individu cedera akibat diserang lelaki kurang siuman di stesen kereta api di Dusseldorf pada Jumaat, seorang warga tua pula telah berdepan kejadian sama.

Mangsa berusia 80 tahun itu dikejarkan ke hospital selepas diserang di tempat meletak kereta di utara bandar itu. Setakat ini, penyerang masih bebas.

Susulan kejadian itu, guru dan pelajar di Theodor-Fliedner-Gymnasium berdekatan telah dinasihatkan supaya tidak keluar dari kawasan itu.

Pasukan polis pula telah mengawal kawasan sekitar tempat letak kereta itu.

Beberapa jam sebelum warga tua itu diserang, seorang lelaki berusia 36 tahun dari Kosovo telah mengakibatkan sembilan cedera akibat diserang menggunakan kapak di stesen kereta api Dusseldorf.

Lelaki yang mengalami masalah mental itu melarikan diri dengan terjun jambatan sebelum ditahan polis.

Pihak pendakwa raya berkata, lelaki yang dikenali sebagai Fatmir H telah ke Jerman pada 2009 dan memperoleh status penduduk sementara atas faktor kemanusiaan.

Menurut seorang saksi, mereka sedang menunggu kereta api dan sebaik ia tiba seorang lelaki telah keluar an menyerang mereka menggunakan kapak.

Kejadian itu menimbulkan kebimbangan penduduk selepas Jerman diserang pengganas kurang tiga bulan lalu apabila warga Tunisia memandu trak merempuh pasar pada Krismas di Berlin mengakibatkan 12 maut.

Sementara itu, polis Jerman mengesahkan pada Jumaat mengenai masalah mental yang dialami Fatmir H.

Dokumen perubatan ditemui di kediaman lelaki itu di Wuppertal mengesahkan suspek menghidap Schizophernia, kata pegawai polis Dietmar Kneip.

Antara yang cedera dalam serangan pertama pada Khamis malam adalah remaja perempuan 13 tahun dan dua pelancong Itali. Setakat ini, tiga mangsa masih dalam keadaan parah.


Dusseldorf, Fatmir H

Artikel Lain