BEIJING: Mayat Kim Jong-nam, abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong-un selamat tiba di Pyongyang lewat petang Jumaat. Memetik laporan BBC, mayat Jong-nam tiba di lapangan terbang Beijing dengan pesawat MH360 sebelum dihantar ke Korea Utara. "Mayat warga Korea Utara yang meninggal dunia di Malaysia dan beberapa rakyat negara itu sudah kembali ke Pyongyang menerusi Beijing," kata jurucakap Kementerian Luar China, Lu Kang. Penghantaran mayat itu juga adalah pertukaran dengan sembilan rakyat Malaysia yang sebelum ini tidak dibenarkan keluar dari Korea Utara. Malaysia dan Korea Utara mengalami ketegangan politik selepas Jong-nam dibunuh pada Februari lalu. Jong-nam mati dibunuh oleh dua wanita ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2). Kedua-dua wanita itu dipercayai mendekati mangsa sebelum kepalanya diserkup dengan kain yang dipercayai telah dibasahi cecair beracun. Selepas diserkup, mangsa meminta pertolongan daripada kakitangan KLIA2 sebelum meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.