suria

Budak 5 Tahun Maut Kepala Tersepit Di Restoran Berputar

Restoran berputar 360 darjah dan mangsa dilaporkan tersepit di antara dinding dan meja yang bergerak. Foto YouTube

SEORANG kanak-kanak lima tahun maut pada tengah hari Jumaat lalu selepas kepalanya tersepit di restoran berputar di Atlanta.

Kanak-kanak malang itu dikatakan berkunjung ke restoran itu bersama keluarganya dari Charlotte, North Carolina untuk menikmati makan tengah hari di restoran Sun Dial di tingkat 72 Hotel Westin Peachtree Plaza.

Restoran tersebut berputar bagi memberikan pemandangan pencakar langit 360 darjah, dan mangsa dilaporkan tersepit di antara dinding dan sebuah meja yang sedang bergerak.

Menurut laporan WSBTV, keluarga mangsa merupakan pelanggan terakhir di restoran itu semasa mangsa berkeliaran jauh daripada pengawasan ibu bapanya untuk melihat pemandangan luar.

Pegawai keselamatan dan kakitangan hotel cuba mengeluarkan budak lelaki selepas dilihat tersepit. Lantai bergerak di restoran juga dihentikan.

Bagaimanapun sudah terlambat kerana kanak-kanak tersebut mengalami trauma yang teruk di kepala.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Grady tetapi kemudiannya disahkan meninggal dunia.

"Satu kemalangan tragik membabitkan seorang budak lelaki berlaku di hotel," kata Pengurus Hotel Westin Peachtree Plaza, George Read dalam satu kenyataan yang diperoleh AJC.

"Kesedihan kami tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Ingatan dan doa buat keluarganya (mangsa)," katanya.

Restoran Sun Dial dikatakan ditutup buat sementara waktu, dan siasatan dijalankan oleh Pentadbiran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. - Mail Online

Artikel Sebelum

Artikel Lain